Berita Utama

Semua pihak digesa sokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok

Manfaat dapat dilihat apabila bilangan kemasukan ke hospital berkurangan kelak

 

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, RUU itu merupakan inisiatif baik yang boleh menghalang generasi perokok masa depan.

“Kepada semua ibu bapa, lindungi anak-anak anda daripada kesan bahaya merokok dan vape dengan menyuarakan sokongan anda untuk mengakhiri generasi merokok kepada Ahli Parlimen yang mewakili kawasan anda.

“Sekiranya kita semua berada di pihak yang sama, kita dapat melihat masa depan rakyat Malaysia yang lebih sihat yang bebas daripada penyakit berkaitan merokok dan vape.

“Sebagai pembayar cukai, kami akan melihat manfaatnya apabila bilangan kemasukan ke hospital bagi penyakit jantung, strok, kanser dan penyakit pernafasan berkurangan.

“Jika wang pembayar cukai dibelanjakan dengan bijak untuk langkah pencegahan seperti inisiatif ini, kita boleh menjimatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan untuk rawatan dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata, MMA menyokong penuh RUU untuk menghentikan penjualan tembakau, e-rokok dan produk vape kepada mereka yang lahir selepas 2005.

Tegasnya, berhenti merokok memerlukan kemahuan yang kuat kerana sifat ketagihan tembakau.

“Ini telah membawa kepada kebangkitan e-rokok dan vape (produk) untuk kononnya membantu perokok menghentikan tabiat itu.

“Walaupun mendakwa kurang berbahaya daripada tembakau, e-rokok dan produk vape dilaporkan berbahaya kepada kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam industri e-rokok dan vape akan mempunyai masa yang mencukupi untuk menukar model perniagaan mereka bagi mengelak kerugian jika rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button