Berita Utama

Tiada kompromi dengan penghina agama

‘Tak ada untungnya hina agama semata-mata cetus provokasi’

BANGI, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Individu yang membuat provokasi dengan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad tidak akan dibiar, sebaliknya akan diheret ke muka pengadilan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan individu dan pihak berkenaan.

“Islam adalah agama rasmi negara dan pihak yang cuba mengganggu-gugat pegangan itu akan berdepan tindakan mahkamah.

“Apa yang saya boleh sebutkan ialah tiada kompromi kepada mana-mana individu, kumpulan dan pihak yang sengaja melaksanakan atau melakukan provokasi termasuk dalam sudut penghinaan kepada agama.

“Kerajaan tidak akan melepaskan mereka ini dalam apa juga keadaan, sebaliknya kita akan kejar mereka yang mencetuskan ketidakharmonian dalam negara untuk dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, individu yang menghina agama telah menerima hukuman akibat perbuatan yang dilakukan dan undang-undang dikenakan sudah memadai.

“Tidak ada untungnya menghina agama melainkan semata-mata untuk mencetuskan provokasi.

“Baru-baru ini pelaku telah dipenjara kerana gagal membayar denda RM50,000, kita berharap ia menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Kelmarin, lelaki yang menghina Islam, dijel selepas gagal membayar denda RM50,000.

Mohd Nor’muzil Mohd Razalli dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Ahmad Rizki Abdul Jalil selepas mengaku bersalah membuat hantaran jelik menghina Islam menerusi rakaman video di aplikasi YouTube.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu mengaku secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik di YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu dilihat pengadu di hadapan Shell Cyberjaya, jam 11.15 malam pada 16 Julai lalu.

Sebelum ini, lelaki 39 tahun itu direman selama empat hari selepas kandungan penghinaan tersebut tular di media sosial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button