Ukraine sedia eksport 20 juta tan bijirin bernilai AS$10 bilion
Perjanjian dimeterai langkah baharu hentikan perang Russia-Ukraine: Presiden Zelenskiy
KYIV, 23 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Ukraine kini mempunyai bijirin yang bernilai kira-kira AS$10 bilion dan bersedia untuk dijual susulan perjanjian dengan Russia bagi membuka semula sekatan bekalan selain menjual hasil tuaian semasa.
Presiden Volodymyr Zelenskiy menyifatkan perjanjian yang dimeterai antara Ukraine-Russia sebagai langkah baharu kepada negaranya untuk menghentikan peperangan.
Semalam, Russia dan Ukraine menandatangani perjanjian bagi membuka semula Pelabuhan Laut Hitam bagi tujuan mengeksport bijirin sekali gus menyaksikan krisis makanan antarabangsa yang dicetuskan akibat peperangan ditangani.
Tegas Zelenskiy, kira-kira 20 juta tan tuaian bijirin yang dihasilkan tahun lepas akan dieksport.
“Ini memberikan peluang untuk menjual hasil tuaian tahun ini dan buat masa ini kami juga mempunyai hasil bijirin yang bernilai AS$10 bilion,” katanya.
Perjanjian berkenaan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan peluang besar dalam usaha menangani krisis makanan antarabangsa yang dihadapi beberapa negara di dunia buat masa ini.
“Mungkin terdapat beberapa provokasi di pihak Russia dan cubaan untuk memburukkan Ukraine namun kami lebih mempercayai PBB dalam perkara ini,” katanya.
Pautan terdahulu;
Turki umum perjanjian eksport bijirin antara Russia, Ukraine