Dunia

Cacar monyet kini diisytihar darurat kesihatan awam: WHO

Lebih 16,000 kes, lima kematian dilaporkan di 75 negara

GENEVA, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global – tahap amaran tertinggi untuk penyakit.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, keputusan itu telah diputuskan walaupun badan penasihat gagal bersetuju mengenainya.

Dengan sembilan ahli jawatankuasa pakar menentang langkah itu dan enam lagi menyokong, Tedros berkata, keputusannya bertindak sebagai ‘pemecah seri’.

Beliau berkata, lebih 16,000 kes dan lima kematian telah dilaporkan di 75 negara serta wilayah.

“Penilaian WHO ialah risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia dan di semua rantau kecuali di rantau Eropah di mana kami menilai risiko itu tinggi.

“Kami mempunyai wabak yang telah merebak ke seluruh dunia dengan cepat, melalui cara penularan baharu yang kurang difahami,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga risiko yang jelas untuk wabak itu merebak ke seluruh dunia, walaupun risiko gangguan terhadap trafik antarabangsa kekal rendah.

Atas sebab itu, Tedros memutuskan bahawa wabak itu mewakili darurat kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.

“Walaupun saya mengisytiharkan darurat kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa, buat masa ini, wabak tertumpu di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis terutama mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual,” katanya.

Katanya, wabak itu boleh dihentikan dengan strategi betul dalam kumpulan yang tepat.

“Oleh itu, adalah penting untuk semua negara bekerjasama dengan komuniti lelaki yang terlibat hubungan seks sejenis untuk menyampaikan maklumat berkesan dan menerima pakai langkah-langkah melindung kesihatan dan hak asasi manusia,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button