Berita Utama

Ekonomi Malaysia jauh lebih kukuh berbanding Sri Lanka

Negara boleh hadapi risiko kejutan kewangan dengan lebih baik

BANGI, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Situasi ekonomi Malaysia dan Sri Lanka amat berbeza bahkan jika dilihat dari segi kedudukan luaran dan asas ekonomi, ternyata keadaan Malaysia ternyata jauh lebih kukuh.

Antara perbezaannya ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan rizab antarabangsa Malaysia lebih mantap serta inflasi yang lebih terkawal.

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) menolak tanggapan bahawa negara akan berhadapan malapetaka ekonomi seperti yang dialami Sri Lanka.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ada dua aspek yang sangat membezakan hutang Malaysia dan Sri Lanka, dengan yang pertama, pinjaman dalam mata wang asing oleh kerajaan adalah sangat kecil berbanding Sri Lanka.

Dalam konteks ini, beliau berkata, bahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan tertunggak adalah di dalam mata wang ringgit (97.5 peratus) dan hanya sebanyak 2.5 peratus adalah dalam mata wang asing.

“Aspek kedua pula ialah sektor kewangan Malaysia kukuh dan pasaran kewangan tempatan juga besar dan dalam. Justeru, risiko kejutan kewangan boleh kita hadapi dengan lebih baik,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Beliau menjelaskan, ketika ekonomi negara terkesan akibat wabak COVID-19, bank berkeupayaan untuk membantu peminjam secara besar-besaran.

Terkini, walaupun keadaan ekonomi semakin pulih, beliau berkata, bank terus menyediakan bantuan pembayaran semula kepada peminjam yang memerlukannya sambil meningkatkan aktiviti pemberian pinjaman untuk menyokong pemulihan ekonomi.

Namun, katanya, terdapat beberapa pengajaran penting yang dapat dijadikan iktibar daripada krisis di Sri Lanka itu dengan antaranya Malaysia perlu mengekalkan kedudukan fiskal yang teguh dan mampan bagi membolehkan kerajaan membantu isi rumah yang terjejas pada waktu yang mendesak.

“Keperluan memelihara daya tahan luaran, termasuk memastikan penambahan hutang luar negeri, terutamanya hutang dalam mata wang asing, dibuat secara berhemat dan pinjaman yang diterima itu digunakan secara produktif.

“Kita juga perlu memastikan rizab antarabangsa berada pada tahap yang kukuh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button