Berita Utama

Jakim rayu MOF kemudahan cuti bersalin elaun penuh guru KAFA

Cari jalan bela dan jaga kebajikan semua pihak

BANGI, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan, pihaknya dalam usaha membuat rayuan kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) wanita.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim juga sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak kementerian berkenaan.

Beliau berkata, pada 20 Julai lalu, Jakim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah bagi membincangkan isu kebajikan bagi guru dan Penyelia KAFA.

“Ingin ditegaskan bahawa Jakim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia Jakim termasuk guru KAFA.

“Jakim amat mengharapkan sokongan dan doa dari semua pihak agar usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui Jakim selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

MOF pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan bersalin tersebut adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA.

Berikutan itu, Jakim mengeluarkan arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru KAFA wanita pada 21 Julai lalu.

Terdahulu, Jakim mengeluarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu Tahun 2022 untuk diguna pakai semua Agensi Pelaksana KAFA bermula Januari tahun ini.

Antara perkara baharu yang dimasukkan dalam peraturan tersebut ialah Kemudahan Cuti Bersalin Berelaun Penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita sekali dalam tempoh kontrak yang sebelum ini tidak pernah diberikan.

Keputusan dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif Jakim dalam menjaga kebajikan golongan guru KAFA wanita yang bersalin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button