Dunia

Kejam! Israel roboh 51 bangunan Palestin dalam dua minggu

40 penduduk termasuk 21 kanak-kanak hilang tempat tinggal: OCHA

RAMALLAH, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Dalam tempoh dua minggu, pihak berkuasa pendudukan Israel merobohkan dan merampas 51 bangunan milik Palestin di Baitulmaqdis Timur serta Kawasan C Tebing Barat.

Tindakan rejim Zionis itu kononnya dengan alasan kekurangan permit bangunan yang dikeluarkan Israel, namun empat daripada struktur itu dibangunkan sebagai bantuan kemanusiaan dibiayai penderma.

Akibatnya, 40 penduduk termasuk 21 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal, sementara punca pendapatan 500 yang lain terjejas, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di wilayah Palestin.

Menerusi Laporan Perlindungan Orang Awam dwi-mingguan meliputi tempoh antara 28 Jun hingga 18 Julai, kira-kira 47 daripada struktur disasarkan berada di Kawasan C, termasuk di kawasan selatan Hebron yang ditetapkan sebagai ‘zon tembak’ untuk latihan ketenteraan.

Pada 5 Julai, pihak berkuasa Israel merobohkan tembok konkrit sepanjang 200 meter di sekeliling kemudahan mata air di tanah rizab di Duma berhampiran Nablus, yang didakwa tiada permit.

Perobohan itu secara langsung menjejaskan akses air dan mata pencarian sekurang-kurangnya 22 rumah, terdiri daripada 132 penduduk.

Di Baitulmaqdis Timur, empat bangunan dirobohkan termasuk satu daripadanya dimusnahkan oleh pemiliknya untuk mengelak membayar denda dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel.

OCHA berkata, tentera Israel menjalankan latihan ketenteraan berhampiran 13 komuniti pengembala Palestin di Masafer Yatta, selatan Hebron.

Kawasan itu kononnya ditetapkan oleh pihak berkuasa Israel sebagai ‘zon tembak’ dan diisytiharkan ditutup untuk latihan ketenteraan Israel.

Latihan itu menyekat akses rakyat Palestin kepada perkhidmatan asas dan sumber makanan, selain membahayakan keselamatan mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button