Dunia

Lebih 400 kes cacar monyet dilaporkan di Itali

Lebih 16,000 kes cacar monyet telah direkodkan di 75 negara setakat ini

ROM, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Lebih 400 kes cacar monyet telah direkodkan di Itali, kata Ketua Pengarah bahagian Pencegahan Kementerian Kesihatan negara itu Gianni Rezza selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan awam.

Pada Sabtu, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan bahawa wabak cacar monyet diisytihar kecemasan kesihatan global.

Rezza dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Itali telah mencatatkan 407 kes cacar monyet setakat ini, tetapi keadaan terkawal, lapor Sputnik.

Ghebreyesus berkata walaupun wabak cacar monyet diisytihar kecemasan kesihatan global, “buat masa ini kebanyakan kes tertumpu dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, terutamanya mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual”.

Pada masa yang sama, beliau menyeru semua negara untuk bekerjasama rapat dengan kumpulan yang terjejas, meningkatkan kempen kesedaran, dan memberi amaran terhadap diskriminasi dan stigma.

Menurut ketua pengarah WHO, lebih 16,000 kes cacar monyet telah direkodkan di 75 negara dan wilayah, dengan lima kematian setakat ini.

Kebanyakan pesakit pulih daripada jangkitan wabak itu selepas beberapa minggu tanpa rawatan.

Menurut WHO, cacar monyet lebih menjejaskan kanak-kanak kecil, wanita hamil, dan individu yang mengalami gangguan sistem imun.

Virus cacar monyet tidak mudah berjangkit dan biasanya akan merebak melalui kontak fizikal yang rapat, termasuk hubungan seksual dengan individu yang dijangkiti.

Ia boleh menjangkiti tubuh manusia melalui saluran pernafasan, mata, hidung dan mulut, dan melalui cecair badan.

Cacar monyet adalah penyakit zoonosis (yang merebak antara haiwan dan manusia). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button