Berita Utama

Pemimpin, ahli koperasi perlu berintegriti dalam urus koperasi: Agong

Seri Paduka zahir bangga pencapaian koperasi miliki aset RM150 bilion

KUALA LUMPUR, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pemimpin dan ahli koperasi perlu berintegriti serta amanah dalam menguruskan aset serta perolehan koperasi untuk kepentingan negara.

Seri Paduka juga bertitah baginda berasa bangga dengan pencapaian koperasi di negara ini dengan asetnya yang telah menjangkau RM150 bilion.

“Ini satu angka yang besar, harap ini dapat diurus tadbir dengan sebaik mungkin. Setiap ahli (koperasi) ini harus berintegriti, amanah supaya tidak lalai dalam urusan tadbir urus demi untuk kepentingan tujuh juta ahli yang sedia ada.

Ini satu amanah yang besar, dan jadikan koperasi ini satu koperasi yang boleh sama-sama dibangun dan memberi faedah kepada tujuh juta ahli,” titah Seri Paduka pada Majlis Santapan Malam bersempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di sini.

Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah koperasi akan dapat berdiri sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kerajaan, selain ahli koperasi perlu memberi panduan serta cara memajukan koperasi kepada kerajaan untuk kepentingan bersama bagi kepentingan negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button