Berita Utama

Perak sokong penuh RUU kawalan tembakau, rokok

27,000 kematian setiap tahun punca rokok

BANGI, 24 Zulhijjah 1443H, Ahad – Meskipun negara memperoleh kutipan cukai jualan rokok RM2.8 bilion tahun 2020, kerajaan masih perlu membelanjakan RM8 bilion untuk rawatan pelbagai penyakit kronik menjelang 2030 jika tiada pengawalan masalah rokok.

Atas sebab itu, kerajaan negeri Perak menyokong penuh penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sebagai usaha ke arah mengurangkan ‘prevalen’ perokok kurang daripada lima peratus menjelang 2040.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, dianggarkan 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, selain sebanyak 27,000 kematian setiap tahun adalah berkaitan rokok.

“Selain kos rawatan juga adalah lebih tinggi bagi merawat pesakit yang merokok kerana melalui kajian yang dijalankan 5,889 pesakit COVID-19 di Malaysia, perokok mempunyai risiko dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat komplikasi lebih teruk berbanding pesakit yang tidak merokok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak di pelbagai peringkat wajar menyokong penuh inisiatif kerajaan bagi kesejahteraan kesihatan generasi akan datang.

“Generational End Game atau Generasi Penamat merupakan satu langkah strategik yang akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti tertentu berkaitan merokok terhadap generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya.

“Generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan ke atas ini dinamakan Generational End Game atau GEG.

“Larangan ini termasuklah menjual sebarang produk merokok kepada GEG, larangan penggunaan baik mengunyah dan menghisap serta pembelian dan pemilikan sebarang produk merokok oleh GEG,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button