Gagal bayar denda, lelaki hina Islam dipenjara setahun
Tertuduh guna Facebook secara sedar muat naik rakaman video

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – Disebabkan gagal melunaskan bayaran denda RM10,000, seorang penganggur yang menghina agama Islam di media sosial terpaksa meringkuk di penjara lebih lama.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 selepas tertuduh, Syaidinar Abu Bakar, 36, mengaku bersalah dengan pertuduhan ke atasnya.
Tertuduh yang gagal membayar denda kemudian dikenakan hukuman tambahan enam bulan penjara menjadikan dia terpaksa di penjara selama setahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan Facebook secara sedar dengan memuat naik rakaman video berdurasi empat minit 13 saat yang jelik sifatnya dengan niat menghina Islam.
Kesalahan tersebut dilakukan di Lot 532A Kampung Bagan Chekok, Pulau Chondong, di Machang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233 (3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
Pada 17 Julai lalu, Polis Kelantan menahan seorang lelaki yang didakwa mempersenda dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran video di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan pada 9.15 pagi tadi berhubung seorang individu yang menghina agama Islam melalui satu klip video.
Pautan terdahulu;
Lagi kes hina agama, polis Kelantan tahan seorang lelaki di Machang