Berita Utama

UMNO makin lemah, tak sekuat dulu

Seolah beri isyarat mahu kembali ‘berkawan’ dengan PAS

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – UMNO yang dulu dianggap parti terbesar orang Melayu kini seolah-olah semakin sedar dengan kedudukannya yang lemah tidak sekuat dulu.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, sebelum ini UMNO lantang menyatakan kesediaan untuk bergerak solo – kemungkinan dibuat berdasarkan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sahaja.

“Namun selepas membuat analisis mengenai siapa yang keluar mengundi, kini UMNO mendapat petanda baru – untuk berdepan PRU15 tidak boleh menjadikan PRN Melaka dan Johor sebagai ukuran semata-mata, sebaliknya perlu ada gabungan yang kuat.

“Keadaan jelas membuktikan parti itu sebenarnya pengecut berikutan tahu akan kecundang lagi untuk kali kedua sekiranya bergerak solo seperti yang berlaku dalam PRU14, sebelum ini.

“Hakikatnya UMNO kini bukan parti yang solid kerana berlaku perpecahan yang semakin membesar dan membarah, itu yang memberi kebimbangan kepada parti tersebut untuk terus bergerak solo,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan pendirian Barisan Nasional (BN) untuk bergerak secara solo PRU 15 belum muktamad memandangkan dinamik politik sering berubah-ubah.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, keputusan terakhir akan dimuktamadkan mengikut kesesuaian situasi semasa selain kecenderungan untuk memenangi PRU15.

Menurutnya, pendirian untuk BN bersendirian menghadapi PRU15 setakat hari ini kekal namun tidak menolak kemungkian berubah pada saat akhir.

Mengulas lanjut Ustaz Zamani berkata, UMNO juga sebenar gentar selepas mengetahui musuh politiknya kini merancang tidak bergerak solo sebaliknya bertanding secara berkumpulan.

Tegas beliau, kenyataan yang dikeluarkan Mohamad seolah-olah memberi isyarat untuk kembali ‘berkawan’ dengan PAS bagi menghidupkan Muafakat nasional yang semakin sendu.

“Ini merupakan talian hayat kepada UMNO untuk kembali bangkit dan memberi pengaruh kepada pengundi-pengundi Melayu kononnya atas dasar penyatuan ummah.

“BERJASA melihat PAS perlu bijak, jangan ditipu sehingga dua kali, apabila UMNO merasakan dirinya lemah dia akan berkawan dengan PAS yang semakin diterima rakyat, namun apabila rasa diri kuat dia mahu kembali solo,” katanya.

Atas dasar itu beliau menggesa PAS bertindak matang dan bijak supaya tidak dipergunakan lagi parti tersebut yang semata-mata mahu menggunakan kelebihan PAS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button