Berita Utama

Akta haram rokok, vape dibentang minggu depan

GEG wujudkan generasi baharu bebas perbuatan merokok

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan membentangkan satu akta untuk mengharamkan rokok, vape dan semua alat merokok untuk golongan yang lahir selepas 2007 di Parlimen minggu depan.

Ia selari dengan matlamat Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG) untuk mewujudkan generasi baharu Malaysia yang bebas daripada perbuatan merokok pada masa akan datang.

“Bayangkan negara kita tanpa asap rokok, bayangkan satu hari nanti satu generasi tidak kenal apa itu rokok.

“Tidak mustahil untuk ini berlaku. Ini boleh jadi realiti kita dan negara kita,” katanya dalam video dimuat naik di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Beliau berkata, semua pihak boleh memainkan peranan untuk akta itu diluluskan di Parlimen, selain menggalakkan suara orang ramai jika bersetuju dengan GEG.

“Jika anda mahukan anak-anak dan cucu-cucu kita bebas daripada asap rokok, speak about it. Tells your MP’s to support the law. 

“Sokongan anda mampu melahirkan generasi yang lebih sihat. Selama seminggu ini saya akan keluarkan kandungan video setiap hari dengan fakta dan bukti bagi meyakinkan anda untuk menyokong GEG,” katanya.

Pada 17 Februari lalu, kerajaan dilapor akan memperkenalkan akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk vape terhadap generasi muda.

Pengenalan akta baharu itu dapat mengurangkan generasi akan datang terdedah terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama menyebabkan kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button