Berita Utama

Hari ke-33 Mat Kilau kutip RM90 juta, atasi rekod Avengers: End Game

Terus pecah 'box-office', kekal filem nombor satu

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – Filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus memecah rekod ‘box-office’ dengan kutipan RM90 juta selepas 33 hari tayangan.

Jumlah itu sekali gus menyenaraikan karya terbitan Studio Kembara sebagai filem dengan kutipan tertinggi di negara ini, mengatasi Avengers: End Game yang mengutip RM87 juta.

Menurut Golden Screen Cinemas (GSC), Mat Kilau kekal sebagai filem nombor satu di Malaysia untuk tempoh lima minggu berturut-turut sejak ditayangkan pada 23 Jun lalu.

Pengarahnya, Syamsul Yusof mengakui terharu dan bersyukur dengan sambutan berterusan terhadap filem berkenaan.

“Air mata syukur… tiada kata melainkan Alhamdulillah. Saya dan seluruh team amat terharu. Terima kasih penonton masih terus beri kepercayaan pada karya kali ini dan kesemua filem saya sebelumnya.

“Sejak dari filem pertama hinggalah sekarang. InsyaAllah moga terus diberi ilham untuk filem akan datang,” katanya.

Beliau berkata, sambutan sekali gus membuktikan karya filem Melayu masih boleh berdiri sendiri dan ia adalah harapan baru kepada pawagam tempatan serta semua anak seni.

“Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi kita sama-sama majukan industri seni Malaysia,” katanya.

Sejak mula ditayangkan, filem yang diinspirasikan daripada sejarah benar tanah air itu telah mencetuskan fenomena dan membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika hadir ke pawagam.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang, Yayan Ruhian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button