Berita Utama

iGuru gesa Jakim perjuangkan perjawatan tetap guru KAFA

Elaun menteri seharusnya dipotong, bukan orang bawahan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seperti yang diumumkan pada Januari lalu pastinya memberi tamparan kepada pihak terlibat.

Difahamkan, keputusan itu dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

Kementerian berkenaan pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan itu adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru Kafa.

Bagaimanapun Jakim dilaporkan dalam usaha membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak berkenaan.

Serentak itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan mengesyorkan Jakim memperjuangkan kewujudan perjawatan tetap guru KAFA.

Ini kerana, manfaat mereka lebih banyak bahkan mendapat pencen apabila bersara.

“Jakim perlu anggap guru KAFA setanding guru yang bertugas di perkhidmatan awam.

“Cuma pihak Jakim perlu perhalusi dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari sudut gred perjawatan terutama yang sedia ada yang kebanyakannya sudah memiliki ijazah sebahagiannya,” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sementara itu, tinjauan mendapati isu berkenaan hangat dibahaskan oleh netizen yang rata-rata menganggap kerajaaan bersikap tidak adil dan memilih kasih kepada golongan berkenaan.

“Berapa sangatlah orang dalam Kafa itu mengandung. Itu pun berkira,” kata Mohd Izzad Bin Rosli.

“Kerajaan kalau nak potong pun pergilah potong benda lain. Gaji elaun menteri itu potonglah.

“Bukan gaji mereka seribu dua. Tak pernah pikir nasib orang bawahan ini. Kebajikan rakyat tak jaga. Tahu jaga poket sendiri saja,” itu pula kata Nazlinda Mat.

Md Fauadi pula mengingatkan kerajaan untuk tidak menzalimi guru Kafa kerana mereka mendidik kanak-kanak yang beragama Islam untuk kebahagian di dunia dan akhirat.

“Sudah buntu ke fikiran untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan? Tidak ada cara lainkah?

“Asyik-asyik nak memotong perbelanjaan yang berkait dengan Islam. Bagaimana Allah hendak menurunkan keberkatan kepada negara ini?” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button