Berita Utama

PAS hasrat perintah Kedah sendiri tanpa kerajaan campuran

Tak mahu ulangi kesilapan lama, pilih orang liberal jadi wakil rakyat

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – PAS memberi bayangan untuk memerintah sendiri di Kedah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang tanpa kerajaan campuran.

Perkara iti disuarakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melahirkan keyakinan untuk terus memerintah sendiri berikutan memiliki jentera yang mencukupi.

“Kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu. Kedah boleh InsyaAllah.

“Saya dapati PAS Kedah mempunyai jentera-jentera yang sangat mencukupi.

“Cuma bagaimana kita nak urus jentera-jentera ini supaya berkesan untuk menarik pengundi menyokong kita,” katanya seperti dipetik di harakahdaily.net.

Beliau yang menyampaikan Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut itu turut meminta pengundi lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan lama dengan memilih pemimpin yang salah.

“Malangnya kita menghadapi orang Islam yang jahil agama, tak tahu agama dia sendiri.

“PRU14 pilih orang bukan-Islam jadi wakil rakyat, pilih orang liberal menjadi wakil rakyat sehingga berlaku kerajaan yang kacau bilau, kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang lebih teruk daripada UMNO,” akuinya.

Abdul Hadi menambah, walaupun UMNO ada masalah, tapi PH lebih mencabar Islam, mencabar Perlembagaan, mencabar Raja-raja. Gejala-gejala menghina Islam. Ini kerana kejahilan orang Islam.

Katanya, serangan pemikiran menyebabkan ramai orang Islam jahil agama sendiri khususnya berkaitan politik di mana musuh juga aktif menggunakan media dan jentera untuk melemah dan menghina Islam.

“Walaupun sakit dan panas hati, tetapi pejuang Islam mestilah sabar, termasuk oleh musuh yang menggunakan kekerasan kerana tujuan mereka adalah menyekat Islam menjadi kuat dan memerintah.

“Untuk mendapat kemenangan, mestilah bertakwa kepada Allah, tanpa melakukan maksiat agar mendapat pertolonganNya, serta bersatu dengan tidak berpecah-belah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button