Dunia

Rejim Israel dera tahanan Palestin hingga hilang ingatan

Mohammad Obeid sengaja ditinggalkan jauh dari kampungnya

RAMALLAH, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat mengecam layanan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa haram Israel ke atas tahanan Palestin, Mohammad Obeid.

Penderaan kejam rejim terhadap Mohammad di Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) menyebabkan pemuda dari bandar Jenin utara Tebing Barat itu hilang ingatan.

IPS telah membebaskan Mohammad semalam selepas 18 bulan ditahan, namun dia ditinggalkan di tepi jalan berhampiran pusat pemeriksaan di selatan Tebing Barat tanpa dimaklumkan kepada pihak keluarganya.

Apatah lagi, dia ditinggalkan dalam keadaan masalah kesihatan serta mengalami amnesia.

Keluarganya berkata, Mohammad tidak mengenali mereka ketika bertemu dan menegaskan bahawa dia tiada masalah kesihatan ketika ditangkap Israel.

Justeru, mereka percaya bahawa keadaan Mohammad ketika ini berpunca daripada penyeksaan serta penganiayaan dalam tahanan.

Kementerian Luar Negeri Palestin menuduh Israel bukan sahaja menganiaya dan mendera Mohammad ketika dalam tahanan hingga hilang ingatan, bahkan sengaja meninggalkannya di pusat pemeriksaan tentera yang jauh dari kampungnya.

“Tingkah laku jenayah, tidak berperikemanusiaan dan mencerminkan situasi kejam yang dilalui tahanan di penjara, selain membuktikan intipati dasar penjajahan terhadap seluruh rakyat Palestin,” katanya.

Kementerian itu percaya pihak berkuasa Israel bertanggungjawab atas penderaan dan jenayah terhadap Mohammad.

Sehubungan itu, organisasi dan majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan khususnya hak asasi manusia digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap dasar penjajahan Israel di Palestin.

Katanya, jenayah itu harus dihadapkan ke mahkamah antarabangsa dan Israel perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button