Berita Utama

Segera dapatkan rawatan jika ada gejala cacar monyet: KKM

Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa, tingkat kesan kes

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi semasa wabak cacar monyet, selain meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit berisiko.

Langkah itu berikutan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet yang berlaku pada masa ini adalah sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsan (PHEIC).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif wabak itu.

“Semua pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan monkeypox akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan dan status kesihatan.

“Pengembara-pengembara yang tiba dari negara-negara terbabit, dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dan tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara gejala cacar monyet adalah demam, keletihan, sakit kepala, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan, tapak kaki dan bahagian tubuh lain, lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot serta pembengkakan kalenjar limfa.

Khairy berkata, sejak 1 Mei hingga 23 Julai lalu, seramai 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan ‘Health Alert Monkeypox’ kepada mereka.

Justeru, KKM menggesa individu yang mempunyai gejala cacar monyet supaya segera ke fasiliti kesihatan bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut, selain mengelakkan diri dari kontak dengan orang lain untuk mengelakkan penularan jangkitan.

“Bagi pengendali premis-premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko dimohon untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala monkeypox dan tiada ruam makulapapular.

“Sekiranya terdapat pelanggan yang mempunyai gejala tersebut, nasihatkannya untuk segera mendapatkan rawatan,” katanya.

Manakala, bagi pekerja yang bergejala dinasihatkan untuk tidak hadir bertugas dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button