Berita Utama

Ambil graduan asing bekerja, Tengku Zafrul gagal lihat masalah sebenar

Patutnya fikir kerangka pembangunan modal insan tempatan untuk tampung permintaan pelabur

BANGI, 26 Rejab 1445H, Rabu – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilihat seolah-olah ‘lari’ daripada masalah sebenar apabila mencadangkan untuk membenarkan graduan asing bekerja dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim menyifatkan cadangan itu sebagai satu pemikiran simplistik seorang menteri yang amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, Tengku Zafrul seolah-olah gagal melihat masalah sebenar yang telah lama berakar umbi iaitu kegagalan sistem pendidikan dalam melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk pelbagai sektor ekonomi diperlukan negara.

“Tengku Zafrul sepatutnya berfikir dalam kerangka pembangunan modal insan tempatan dengan jati diri dan semangat cintakan negara yang tinggi.

“Bukannya sekadar mengambil sikap sambil lewa dan jalan pintas untuk menyelesaikan kekurangan pekerja asing di negara kita,” katanya.

Muhammad Lukman berkata, solusi cetek Tengku Zafrul tidak menghiraukan ribuan tenaga mahir tempatan yang mengambil keputusan bekerja di luar negara terutamanya Singapura dan Timur Tengah kerana kecewa dengan sistem yang ada di Malaysia.

“Jika melihat kepada trend graduan yang menganggur, kebanyakannya berpunca daripada tawaran gaji yang rendah.

“Hal ini menyebabkan mereka lebih berminat untuk memilih meneruskan pekerjaan dalam bidang yang lain seperti menjadi pemandu p-hailing dan sektor separa mahir,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul menjelaskan langkah kerajaan untuk membenarkan graduan asing bekerja dalam sektor teknologi tinggi di Malaysia adalah bersifat sementara untuk memenuhi keperluan industri di negara ini.

Beliau berkata, jumlah graduan tempatan dalam sektor teknologi tinggi tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan para pelabur.

“Pelabur tak boleh tunggu empat tahun lagi. Sebagai contoh contoh industri elektrik dan elektronik perlukan 50,000 jurutera.

“IPT kita setakat ni cuma keluarkan 5,000 graduan setahun. Jadi nak penuhi permintaan industri akan mengambil masa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button