Berita Utama

UMNO takkan boleh menang sendirian

MCA dan Gerakan tiada kekuatan, hanya tumpang tuah undi Melayu

BANGI, 25 Zulhijjah 1443H, Isnin – UMNO perlu sedar realiti bahawa parti itu tidak akan menang jika bersendirian sebaliknya memerlukan parti Melayu yang lain, terutamanya PAS untuk memerintah.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kemenangan UMNO (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak, tidak boleh dijadikan ukuran kerana setiap negeri mempunyai budaya politik yang berbeza.

“Dalam konteks Malaysia lagi jelas UMNO tidak boleh menang jika bersendirian. Tanpa parti-parti Bumiputera Sabah dan Sarawak, pastinya UMNO akan tumbang, dan laluan untuk Perdana Menteri dalam kalangan UMNO adalah sukar.

“Sebab itu, saya sarankan buatlah muhasabah. Jika tidak mahu ‘parti tikam belakang’ seperti PPBM (Bersatu), seperti yang Timbalan Presiden UMNO sebut, sekurang-kurangnya berpakatlah dan terimalah PAS, meskipun PAS terpaksa menjaga keduanya UMNO dan Bersatu,” katanya.

Menurut beliau, politik Malaysia hari ini, formulanya mudah, bergantung kepada UMNO dan PAS sahaja, dengan sokongan dan dukungan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Usah dikira lagi MCA dan Gerakan, parti ini tidak ada kekuatan. Ada pun serupa tiada. Hanya menumpang tuah undi Melayu. Menang pun MCA tidak menguntung, cuma menjadi bertambah warna sahaja.

“Saya yakin bila UMNO-PAS menang di Semenanjung Tanah Melayu, mereka tidak akan ketepikan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan bukan Melayu, pasti ada jawatan strategik yang diberikan.

“Sebab itu, MCA, MIC dan Gerakan jangan lebih garpu daripada sudu, merasakan dirinya kuat, tetapi langsung tidak kekuatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button