Berita Utama

Aktiviti domestik, permintaan luar terus sokong pemulihan ekonomi

Ekonomi dijangka berkembang dengan stabil pada 2022 dan 2023

KUALA LUMPUR, 26 Zulhijjah 1443H, Selasa – Ekonomi Malaysia berada pada laluan pemulihan yang kukuh disokong oleh aktiviti domestik dan permintaan luar yang positif.

Ekonomi dijangka berkembang dengan stabil pada 2022 dan 2023 walaupun berdepan cabaran daripada peningkatan tekanan kos, konflik ketenteraan Russia-Ukraine dan langkah-langkah pembendungan ketat China terhadap COVID-19, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, Malaysia mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk eksport negara terutamanya produk elektrik dan elektronik serta produk berasaskan komoditi dan produk eksport yang pelbagai dan pasaran akan terus menyokong pertumbuhan eksport negara.

“Berdasarkan pemerhatian, kami menyaksikan peningkatan yang kukuh dalam permintaan domestik, perbelanjaan domestik terutamanya perbelanjaan pengguna, yang mana jualan runcit, transaksi kad debit dan import barangan pengguna telah melebihi tahap prapandemik,” katanya dalam ucaptama pada majlis Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2022 (IFCTF 2022) ke-12 di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, pasaran pekerjaan yang semakin kukuh telah memberi manfaat kepada ekonomi negara dan 26,000 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sama seperti tahap prapandemik.

Pada masa sama, kekosongan pekerjaan dan gaji juga meningkat, yang akan mengukuhkan lagi pemulihan permintaan dalam negeri pada masa hadapan.

Mengenai kenaikan harga, Nor Shamsiah menegaskan bahawa keadaan yang berlaku pada masa ini disebabkan fenomena global dan Malaysia terjejas akibat kesan tidak langsung daripada harga komoditi global yang tinggi kerana ia merupakan pemacu utama kenaikan kos input pengeluar.

“Perkembangan inflasi di Malaysia tahun ini mencerminkan sebahagian daripada kos ini serta permintaan dalam negeri yang semakin kukuh. Akibatnya, walaupun inflasi utama diunjurkan kekal rendah dan stabil serta di antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini, inflasi teras meningkat kepada purata 2.2 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 0.7 peratus pada 2021,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan ekonomi berada pada trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh dan tidak lagi dalam keadaan krisis, bank pusat melalui Jawatankuasa Dasar Monetari menilai bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk mula menarik balik lebihan sokongan, menyemak semula kadar dasar semalaman yang merupakan antara paling rendah dalam sejarah iaitu 1.7 peratus.

“Apa yang penting ialah dengan bertindak secara awal, kami akan berada dalam kedudukan untuk melakukan pelarasan kepada penetapan dasar monetari di Malaysia secara beransur-ansur dan ini juga untuk memulihkan dan menyokong pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya, sambil menambah bahawa masa, kadar dan tahap kenaikan kadar faedah akan dipandu oleh penilaian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button