Berita Utama

Jangan meroyan teruk sangat, apalah nak ditakut Hari Peradaban Bangsa Melayu

Keluar kenyataan merepek hingga kait dengan Apandi Ali

BANGI, 26 Zulhijjah 1443H, Selasa – Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya pelik apabila ada pihak ‘meroyan’ dengan penganjuran Festival Hari Peradaban Bangsa Melayu.

Lebih menghairankan, sebuah portal memuat naik komen pembaca yang mengaitkan beliau dan festival yang akan diadakan 30 Julai ini dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Entahlah apa yang ditakutkan sangat dengan penganjuran Festival Hari Peradaban Bangsa Melayu yang bakal kita anjurkan Sabtu nanti. Sampaikan keluar pula kenyataan merepek-repek yang entah apa kaitannya. Mungkin inilah definisi jelas untuk ‘meroyan’.

“Saya pun tak tahulah bagaimana isu Apandi Ali ini nak dikaitkan dengan saya dan program yang kita bakal adakan itu.

“Sudahlah saya dan rakan-rakan penganjur tak kenal pun Apandi Ali, tiba-tiba persoal apakah beliau akan ‘ketuai’ upacara perarakan program ini nanti. Memang sangat melucukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun melihat perkara itu daripada perspektif positif bahawa ia ‘free marketing’ untuk mempromosikan program berkenaan.

“Kalaulah artikel ini datang dari blog picisan taraf cybertrooper murahan (dan tak laku), boleh tahan lagi. Tapi ini diterbitkan oleh sebuah portal berita berprofil tinggi yang punyai pembaca yang sangat ramai.

“Apa-apa pun, teruskanlah meroyan,” katanya.

Program Peradaban Bangsa Melayu bakal menghimpunkan 50,000 pengunjung, selain menjadi tarikan pelancong luar dengan menampilkan beberapa perkara melibatkan kehebatan masyarakat Melayu di negara ini.

Program julung kali itu bakal diadakan di Padang Merbok dan akan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Antara yang akan ditampilkan termasuklah pameran busana Melayu, seni persilatan, keris dan perarakan sempena Maal Hijrah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button