Berita UtamaIstimewa

Jumlah guru di Melaka kemurungan membimbangkan

Menteri Pendidikan perlu segera cari penyelesaian

BANGI, 26 Zulhijjah 1443H, Selasa – Hasil saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Melaka agak membimbangkan.

Dilaporkan seramai 648 daripada 13,976 guru di negeri berkenaan dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Keadaan itu dikesan selepas golongan terbabit menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

Berikutan itu, Pensyarah kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melontarkan persoalan kesan pada pembelajaran murid-murid yang diajar oleh guru yang kemurungan.

“Sekitar 5 peratus guru di negeri Melaka disahkan murung oleh exco kerajaan negeri.

“Bagaimana pula dengan jumlah guru-guru yang sedang berhadapan dalam prakemurungan? Atau guru yang mula mengalami simptom kemurungan?” soalnya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, pengguna laman sosial menggesa Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memandang serius isu ini dan mengambil tindakan segera.

“Marilah kita berganding bahu beramai-ramai untuk memilih pemimpin yang baru. Selamat tinggal Menteri Pendidikan yang lama.

“Jangan takut untuk kita memilih selagi Menteri Pendidikan ini tidak membuat satu perubahan yang baru untuk guru lebih mudah serta dapat mengelakkan tekanan.

“Inilah masa wahai guru-guru bangun untuk hak anda. Sebab anda sendiri mampu mengubahnya. Bukan menteri yang mengubah kehidupan anda,” kata Muhammad Faiz.

Sementara Ramlah Zakaria berharap data yang dikeluarkan itu tidak terhenti di situ sahaja.

“Semoga ada tindakan yang memberi sinar buat para guru,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button