Berita Utama

Kawal NGO terima dana luar untuk kepentingan kuasa asing

Rakyat mesti terus tegas tolak hak asasi acuan liberal

BANGI, 26 Zulhijjah 1443H, Selasa – Sudah tiba masanya Malaysia mengawal penerimaan dana luar untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang menjadi wadah atau saluran bagi kepentingan kuasa asing.

Ini kerana, negara ketika ini jelas mempunyai dua kumpulan bertentangan besar, di mana satunya digelar patriot dan satu lagi tali barut, kata Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias.

Menyifatkan kedua-duanya mempunyai perbezaan yang sangat ketara, beliau berkata, satu kumpulan menyokong perjuangan berteraskan Islam, sementara satu lagi mempertahankan dan mendukung mereka yang menghina agama Islam.

“Satu terdiri dari kumpulan besar yang telah berjaya melonjakkan wayang Mat Kilau sehingga mendapat RM90 juta, yang berkisar perjuangan penduduk setempat terdiri dari kaum Melayu/muslim dalam penentangan terhadap British.

“Satu lagi pula kumpulan kononnya mendukung kebebasan hak bersuara ‘menghina’ Islam. Mereka ini dengan mudah mengumpul dana RM40,000 untuk menjamin pasangan yang sengaja hina Islam,” katanya dalam kenyataan.

Lukman berkata, kumpulan pertama telah menyumbang daripada titik peluh warga tempatan, sementara kumpulan kedua didukung puak liberal di bawah naungan Lawyers for Liberty (LFL).

“Mereka ini dengan bangga mengumumkan mereka dengan senang mendapat sokongan dan sumbangan dari luar negara. Sepertimana maklum, LFL ini selalu mendapat sogokan wang dari NED.

“US selalu menggunakan NED untuk menyogok NGO-NGO tempatan supaya mengajukan kepentingan US atas dasar kononnya demokrasi dan human rights,” katanya.

Atas sebab itu, beliau melihat keadaan itu sebagai resipi pertembungan besar kelak, terutamanya di mahkamah.

“Sekarang ini pelbagai kes ‘strategik litigation’ telah dibawa ke mahkamah sivil bagi mencabar undang-undang Syariah dan satu demi satu kes Syariah yang dibawa ke mahkamah Persekutuan kita kalah teruk.

“Tidak mustahil satu hari nanti bidang kuasa jenayah Syariah akan lenyap dek cabaran ini. Kebebasan bersuara kita mesti ada had,” katanya.

Dahulunya, satu cadangan akta harmoni iaitu cuba membenarkan sesiapa sahaja mengutuk dan mencerca mana-mana agama, nabi dan Tuhan atas dasar kebebasan bersuara, selagi tidak menggunakan keganasan.

Bagaimanapun, akta itu ditentang keras kumpulan hak asasi dan bersuara acuan liberal berkenaan.

“Dan kita mesti terus tegas menolak hak asasi acuan liberal ini. Kalau tidak huru hara negara kita dek kebebasan bersuara ini.

“Adalah penting bagi keamanan negara, kita tuntut transparency ke atas NGO-NGO ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button