Dunia

Sri Lanka sekat import bahan api 12 bulan

Terpaksa ambil langkah catuan kurangkan krisis ekonomi

COLOMBO, 26 Zulhijjah 1443H, Selasa – Sri Lanka akan menyekat import bahan api selama 12 bulan akan datang kerana kekurangan pertukaran asing yang teruk, kata menteri tenaganya pada Isnin.

Langkah itu dibuat ketika kerajaan baharu dipimpin Presiden Ranil Wickremesinghe berusaha mencari jalan keluar daripada krisis ekonomi yang melumpuhkan negara berkenaan.

Negara dengan populasi 22 juta penduduk itu sedang bergelut dengan kekurangan barang keperluan, termasuk bahan api dan ubat-ubatan selama berbulan-bulan selepas rizab pertukaran asing berkurang akibat salah urus ekonomi serta kesan pandemik COVID-19.

“Disebabkan isu Forex, import bahan api perlu dihadkan dalam tempoh 12 bulan akan datang,” kata Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera di Twitter sebagai menjawab rasional di sebalik catuan yang akan dilaksanakan minggu ini.

Sistem catuan adalah antara langkah pertama yang akan diambil oleh Wickremesinghe bagi mengurangkan kesan krisis selepas memegang jawatan presiden minggu lalu.

Peralihan mandat itu berlaku selepas penyandang terdahulu, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dan meletak jawatan ekoran protes besar-besaran menentang salah urus ekonominya.

Sri Lanka juga membuka semula sekolah pada Isnin selepas kekurangan bahan api yang teruk dan pergolakan politik menyebabkan ia ditutup selama sebulan.

Bagaimanapun, kakitangan sektor awam masih diminta untuk bekerja dari rumah selama sebulan lagi, menurut pekeliling dikeluarkan kerajaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button