Berita UtamaIstimewa

1.2 juta warga China ‘hilang dari radar’, mana imigresen?

Memalukan, seolah sistem yang ada di tahap terbawah

BANGI, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Sudah tiba masanya untuk kerajaan menambah baik sistem kad pengenalan bagi mengelakkan sindiket pemalsuan MyKad yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Perkara itu antara cadangan yang banyak disuarakan pengguna media sosial ekoran bimbang terhadap pendedahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.

KDN memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke Malaysia.

Malah, KDN memaklumkan, rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan seramai 2,960 wanita warga China direkodkan berkahwin dengan lelaki tempatan bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Bimbang dengan pendedahan itu, rata-rata netizan menggesa JPN melaksanakan langkah pemutihan dengan gantian MyKad baharu secara besar-besaran dan mewajibkan pembaharuan itu disertakan sijil kelahiran.

“Berita begini mendedahkan kelemahan kerajaan yang memerintah secara tidak langsung. Betapa sistem yang ada berada di tahap terbawah. Ia amat memalukan,” kata Tommy Parang.

“Kena buat apa yang patut. Cari dan perbaiki masalah sistem kita kalau ada mana-mana ruang untuk benda ini terjadi. 1.2 juta orang itu jumlah yang terlalu besar,” tulis Mohd Imran Suboh.

Sebahagian netizen turut mempersoalkan peranan penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen dalam menangani isu lambakan warga asing tidak pulang ke negara asal mereka.

Bahkan, ada yang menganggap kerajaan Pakatan Harapan (PH) – yang memegang pemerintahan dari 2018 hingga awal 2020 – bertanggungjawab dalam masalah berkenaan.

“Perkara ini bukan boleh dibuat main-main, boleh mengancam keselamatan negara dalam masa terdekat dan panjang. Apakah mereka dapat MyKad biru? Apakah mereka berada dalam satu kawasan terlindung dari pihak berkuasa?,” soal Khabil Hashim.

“Kerajaan terlalu bertolak ansur, akhirnya rakyat tempatan ditolak pendatang secara beransur-ansur. Penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dengan lebih tegas,” kata Mazzlan Cheahmad.

Isu seumpama ini pernah menggemparkan negara pada tahun 2020 selepas laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Berikutan laporan itu, petisyen mendesak kerajaan menukarkan MyKad baharu dilancarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) di platform change.org yang berjaya mengumpul lebih 100,000 tandatangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button