Berita Utama

ADUN Tronoh dihukum penjara 13 tahun, dua sebatan

Mahkamah benar tangguh pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan

IPOH, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Abdul Wahab berkata hukuman berat perlu dikenakan bagi memberi teladan kepada Yong dan masyarakat.

Beliau berkata, ia supaya benar-benar memberi pengajaran dan amaran kepada mereka yang bertindak untuk melakukan kesalahan itu.

“Sebagai majikan sepatutnya bagi perlindungan kepada warga asing tetapi bertindak semata-mata nafsu serakah,” katanya.

Pada 31 Mac 2022, pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara kepada pembantu rumah itu.

Yong didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin.

Sementara itu, Setiausaha di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Junjungan Sigalingging ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menunjukkan sistem perundangan negara ini yang adil. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button