Berita Utama

Kerajaan kekal tak iktiraf UEC

Hanya pertimbang iktiraf jika diubah selari Dasar Pendidikan Kebangsaan

BANGI, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Kerajaan kekal dengan pendirian tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) berikutan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) telah menggunakan kurikulum yang digubal Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Beliau berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan UEC sekiranya ia diubah supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

“…melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan yang sama.

“Oleh itu, UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Penetapan tersebut adalah bagi memenuhi aspirasi serta keperluan negara pada masa hadapan dan sebagai usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selaras prinsip Rukun Negara.

Terdahulu, Wong Kah Woh menanyakan sama ada kerajaan berhasrat mengiktiraf UEC yang digunakan di SMPC, untuk kemasukan ke universiti awam.

Malah beliau mempersoalkan bila peruntukan kerajaan akan disalurkan kepada SMPC pada tahun ini.

Radzi bagaimanapun secara tegas memaklumkan, KPM tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kewangan kepada SMPC.

Katanya perkara berkenaan adalah disebabkan sistem pendidikan SMPC yang menawarkan UEC adalah tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta 550 dan lain-lain perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button