Berita Utama

Kos rawat penyakit berkaitan rokok lebih dua kali ganda hasil jualan tembakau

Polisi GEG boleh selamatkan nyawa dua juta rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion untuk merawat tiga penyakit utama berkaitan merokok pada 2020 – dua kali ganda lebih banyak daripada RM3 bilion hasil yang dijana daripada jualan tembakau.

Tiga penyakit utama yang berkaitan dengan merokok ialah kanser paru-paru, penyakit jantung dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, polisi Generational End Game (Generasi Penamat atau GEG) boleh mengurangkan kos rawatan dan menyelamatkan dua juta nyawa.

“Buat matematik. Negara mengalami kerugian besar,” katanya sambil membentangkan angka itu menerusi video pendek di Twitter.

Selain itu, Khairy berkata, penggunaan produk bukan tembakau juga membawa kepada akibat kesihatan yang serius, seperti e-rokok atau kecederaan paru-paru yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik (EVALI).

Seorang pesakit EVALI, katanya, membelanjakan lebih RM150,000 untuk 12 hari rawatan di hospital.

“GEG akan membenarkan industri vape dan e-rokok dikawal selia. Dan, kami boleh memastikan cecair vape yang dijual dikawal dengan betul dan diuji di makmal supaya anda tidak jatuh sakit.

“Malah pemain industri vape menyokong rang undang-undang ini kerana mereka mahu industri itu dikawal selia. Kami juga boleh mengenakan cukai jualan vape.

“Hasil cukai daripada jualan vape dianggarkan mencecah RM500 juta setahun.

“Lakukan perkara betul untuk rakyat dan negara. Beritahu Ahli Parlimen anda untuk menyokong rang undang-undang itu,” katanya.

Khairy membentangkan GEG, atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok, untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini.  

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan untuk mengharamkan merokok dan melarang pemilikan produk tembakau dan vape oleh mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button