Berita Utama

Lompat parti selepas PRU perlu dibenarkan: Tun M

Sesuai bila tiada parti peroleh kerusi minimum 112 di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Tindakan lompat parti walaupun tidak digalakkan, perlu dibenarkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) untuk membolehkan Kerajaan Persekutuan dibentuk, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya tiada parti yang mampu memperoleh kerusi minimum 112 di Dewan Rakyat, lompat parti selepas PRU boleh memastikan kestabilan politik di negara ini.

Katanya, selepas pilihan raya, jika tiada parti yang mendapat lebih 50 peratus kerusi yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan, maka kita mungkin memerlukan satu lagi pilihan raya.

“Jika kerajaan minoriti dibentuk dalam tempoh itu, Dewan Rakyat boleh menjatuhkan mereka dengan hanya mengundi tidak percaya kepada parti yang menjadi kerajaan.

“Dalam keadaan itu kita boleh mengadakan pilihan raya sekali lagi, tetapi keadaan itu tidak akan menyelesaikan masalah. Inilah sebabnya kita perlu membenarkan lompat parti, supaya jumlah ahli cukup untuk menjadi kerajaan dengan majoriti. 

“Tetapi kalau kita tegah semua lompatan, maka tidak ada lah satu kerajaan yang berwibawa. Sebaliknya pilihan raya lain perlu diadakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat. hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, proses lompat parti selepas PRU mesti termasuk mendapatkan kelulusan dan sokongan majlis tertinggi pelbagai parti.

Tambahnya, proses itu juga mesti mengikut perlembagaan parti.

“Semoga rang undang-undang ini akan mendapat sokongan dua pertiga supaya tidak ada lagi situasi di mana kerajaan yang dipilih secara demokrasi, yang dipilih oleh rakyat akan digulingkan, manakala parti yang ditolak oleh pengundi pula akan berkuasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button