Berita Utama

Menteri minta siasat punca guru di Melaka murung

JPN diminta maklum usaha atau cadangan dapat diketengahkan

MELAKA, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Kerajaan negeri memandang serius isu 648 guru yang menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca guru-guru mengalami stres hingga mengambil keputusan untuk bersara awal.

Katanya, beliau akan meminta pihak yang berkaitan terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melihat perkara ini dan memberi cadangan yang dapat diketengahkan atau dibawa kepada kerajaan pusat.

“Begitu juga sistem atau kurikulum pembelajaran kali ini berbeza, guru-guru dikehendaki berada di sekolah tidak macam dulu habis jam 1 tengah hari, boleh balik.

“Kali ini seharian berada di sekolah dan membuat kerja-kerja lain selepas murid pulang, jadi banyak guru-guru yang mungkin stres dengan kerja sekolah dan urusan lain,” katanya seperti dipetik portal media tempatan.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dimaklumkan, seramai 648 daripada 13,976 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Keadaan itu dikesan selepas golongan terbabit menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan Negeri bertujuan mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri itu.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/26/jumlah-guru-di-melaka-kemurungan-membimbangkan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button