Pencawang masuk utama Yong Peng rosak punca gangguan: TNB
Kehilangan beban 2.2GW, 10% daripada keseluruhan permintaan

BANGI, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Tenaga Nasional Berhad telah memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada jam 3:02 petang tadi.
Menerusi satu hantaran di Facebook TNB Careline, syarikat itu berkata, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.
“Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12:39 tengah hari tadi berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.
“Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, TNB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini.
“Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” katanya.