Berita Utama

TV Pertiwi kesal kad akuan media ditarik tanpa alasan

Sedia jalin kerjasama strategik perniagaan dengan mana-mana pihak

BANGI, 12 Syaaban 1445H, Khamis – TV Pertiwi meluahkan rasa kesal dengan tindakan Jabatan Penerangan (JAPEN) menarik Kad Perakuan Media wartawan portal berita itu tanpa sebarang alasan yang kukuh.

Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Firdaus Salleh memaklumkan, beliau telah menemui pihak berkenaan bagi mendapatkan penjelasan namun tiada jawapan diberikan.

“Saya pergi sendiri ke aras sepuluh Jabatan Penerangan di Putrajaya dan bertanya apa alasan kad media kami disekat, tiada jawapan diberikan dan saya hanya diberitahu ‘ini arahan Ketua Pengarah’,” dakwanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebelum ini yang menyekat portal berita itu hingga kini atas dasar ketelusan kandungannya.

Menurutnya, TV Pertiwi terkenal disebabkan naratif yang diangkat, di mana kebenaran sentiasa menjadi asas kandungan portal berita itu.

“Mungkin sebab inilah portal kami disekat SKMM hingga sekarang dan terkini, kad media kami ditarik oleh Jabatan Penerangan,” katanya.

Meskipun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, Mohd Firdaus menegaskan, ia tidak sesekali mematahkan semangat portal berita itu melaporkan kebenaran.

Katanya, ia adalah satu usaha dalam ‘jihad media’ yang dibawa melalui TV Pertiwi.

“Tak mengapa, simpanlah kad media itu. Kami akan terus berjuang dengan cara kami,” katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus memaklumkan pihaknya terbuka menjalinkan kerjasama strategik perniagaan dengan mana-mana pihak.

“Untuk maklumat semua, kami mula bangunkan sayap perniagaan bagi kelestarian syarikat.

“Sesiapa yang ada idea dan berminat, pintu kerjasama sentiasa dibuka. Kita bangunkan media kita. Kita jaga kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button