Dunia

Singapura lapor kes ke-10 cacar monyet

Jangkitan baharu babit lelaki Taiwan baru pulang dari Kanada

SINGAPURA, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Singapura melaporkan satu lagi kes jangkitan baharu cacar monyet pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan 10 sejak Jun lalu.

Kes terbaharu membabitkan seorang lelaki warga Taiwan berusia 28 tahun yang tinggal di Singapura dan baru pulang dari Kanada, kata Kementerian Kesihatannya dalam kemas kini di laman web.

Lelaki berkenaan mengalami simptom pada 22 Julai termasuk demam, sakit kepala, sakit otot dan kemudiannya ruam.

Lelaki itu mendapatkan rawatan pada Selasa dan dimasukkan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan pada hari yang sama, kata kementerian.

Kes bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan pengesanan kontak sedang dijalankan.

Kementerian berkata, kes jangkitan lelaki terbabit tidak berkait dengan mana-mana kes cacar monyet lain yang dilaporkan sebelum ini.

Cacar monyet adalah penyakit virus yang biasanya sembuh sendiri, dengan pesakit pulih dalam masa 14 hingga 21 hari.

Mereka yang dijangkiti biasanya mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, sakit pinggang, bengkak kalenjar limfa, menggigil, lesu dan ruam.

Daripada 10 kes cacar monyet yang dilaporkan di Singapura sejak Jun, lima daripadanya adalah diimport dan lima lagi jangkitan tempatan.

Bagaimanapun, tiada satu pun kes berkenaan berkait antara satu sama lain.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button