Berita Utama

SUHAKAM akan kaji, perbetul dasar memihak agenda LGBT

PEMBELA syor wujud jawatan khas runding isu babit kepentingan negara

BANGI, 27 Zulhijjah 1443H, Rabu – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) akan mengkaji dan memperbetulkan semula dasar-dasar lama yang dilihat memihak agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya hari ini selepas berkunjung menemui barisan pesuruhjaya SUHAKAM yang baharu dilantik oleh kerajaan.

Beliau berkata, secara umumnya, perjumpaan itu sangat baik dan pihaknya melihat hala tuju agensi kerajaan ini sudah seperti landasan asal – yang selama ini dilihat tersasar melalui pelbagai kontroversi yang memeningkan kepala.

“Kita juga mendapat jaminan oleh Pengerusi SUHAKAM yang baharu ini untuk memastikan segala polisi dan gerak kerja mereka akan menjurus kepada ruh dan semangat Perlembagaan Persekutuan, bukannya kehendak pihak asing secara membuta tuli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan itu juga, Haji Aminuddin memaklumkan bahawa PEMBELA mengemukakan beberapa cadangan dan diterima baik oleh SUHAKAM.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan satu jawatan Pegawai Perhubungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) di SUHAKAM supaya dapat memastikan sebarang bentuk komunikasi dengan PIBK sebagai pemegang penting dalam negara sentiasa dirundingi untuk sebarang isu yang membabitkan kepentingan negara.

PEMBELA turut menyarankan supaya siri-siri Latihan Hak Asasi Manusia (HAM) di kalangan PIBK dapat dijalankan agar dapat berlaku penyelarasan kefahaman antara SUHAKAM dan pemegang taruh di kalangan PIBK.

Selain itu, pihak PIBK dirundingi sebelum Laporan Tahunan SUHAKAM mengenai Prestasi Hak Asasi Manusia negara dikeluarkan setiap tahun dan pelantikan wakil PIBK dalam mana-mana jawatankuasa SUHAKAM.

“Kita berharap agar perjumpaan pada hari ini dapat membuahkan hasil terutamanya dalam agenda membela agama, bangsa dan tanah air. Insya-Allah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button