Berita Utama

ISMA mohon SUHAKAM segera realisasi ubah dasar berkait LGBT

Wujud kebimbangan hasrat baik itu dihalang sesetengah pihak

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Langkah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk memperbetulkan semula dasar-dasar lama terutama berkaitan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) adalah bersesuaian dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Keputusan yang dinanti-nantikan itu bertepatan dengan syariat Islam serta bersesuaian norma budaya kehidupan rakyat di negara ini, demikian tegas Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi.

“ISMA sangat menghargai kesudian dan kesungguhan SUHAKAM yang mahu membetulkan dan mengkaji semula dasar-dasar lama, terutama yang memihak kepada LGBT dan berhasrat perkara ini dapat direalisasikan dan ditepati segera.

“Bertepatan negara Malaysia sebagai negara Islam, adalah menjadi kewajipan kepada kita mengamalkan syariat Islam yang bukan sahaja sesuai untuk orang Islam semata-mata tetapi semua individu di negara majmuk ini yang boleh membawa perubahan ke arah kebaikan.

“Kita sedia maklum kemudaratan daripada aktiviti tidak bermoral seperti LGBT sebenarnya membawa lebih banyak keburukkan termasuklah cacar monyet yang melanda negara-negara Eropah yang dipercayai daripada aktiviti tidak bermoral ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mohd Noor Azib berharap, jaminan yang diberikan oleh Pengerusi SUHAKAM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad untuk memperbetulkan dasar-dasar tersebut dapat direalisasikan segera.

“Kita akan terus mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa dan melakukan perbincangan supaya perkara ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dan bukan sekadar tertulis di atas kertas dan niat sahaja namun dihalang oleh sesetengah pihak,” katanya.

Malah, beliau juga berharap ada pembaharuan dibawa oleh entiti didanai kerajaan itu selepas SUHAKAM diterajui oleh individu yang pakar dalam perundangan.

Selain tidak lagi berpaksikan budaya barat dalam membuat sebarang keputusan.

Semalam, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya mendapat jaminan oleh Pengerusi SUHAKAM untuk memastikan segala polisi dan gerak kerja mereka akan menjurus kepada ruh dan semangat Perlembagaan Persekutuan, bukannya kehendak pihak asing secara membuta tuli.

Malah, SUHAKAM bersedia mengkaji dan memperbetulkan semula dasar-dasar lama yang dilihat memihak agenda LGBT.

Pautan terdahulu:
https://ismaweb.net/2022/07/27/suhakam-akan-kaji-perbetul-dasar-memihak-agenda-lgbt/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button