Kes jenayah dalam talian libatkan kerugian RM362.6 juta
10,468 kertas siasatan dibuka, 5,169 pertuduhan dibuat

KUALA LUMPUR, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Sebanyak 10,468 kertas siasatan berhubung kes jenayah dalam talian dibuka antara Januari dan Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia membabitkan kerugian RM362.6 juta.
Katanya, sebanyak 5,169 pertuduhan dibuat bagi aktiviti penipuan dalam tempoh tersebut.
“Berdasarkan statistik yang diberikan, polis kontinjen Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,338,” katanya.
Ismail menjawab soalan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai statistik berhubung aktiviti pinjaman wang tidak berlesen seperti Ah Long, penipuan dan perjudian dalam talian di negara ini.
Mengenai perjudian dalam talian, Ismail berkata, polis melakukan 3,950 serbuan antara Januari hingga Jun tahun ini, mengakibatkan 4,754 tangkapan.
“Hasil serbuan itu, polis merampas wang tunai RM762,855 dengan 7,544 barang rampasan.
“Sarawak mencatatkan jumlah serbuan tertinggi iaitu 697 dengan 718 tangkapan,” katanya.
Ismail berkata, kementerian memandang serius aktiviti pemberian pinjaman wang tanpa lesen, terutama yang melibatkan Ah Long.
“Sejak Januari hingga Jun tahun ini, 506 kes seumpama itu dilaporkan membabitkan kerugian RM4,280,279. Johor mempunyai kes pinjaman wang tidak berlesen tertinggi iaitu 86 kes,” katanya.
Ismail seperti dilapor NST berkata, bagi memerangi penipuan dalam talian, kementerian dan polis telah bekerjasama dengan Interpol serta agensi di beberapa negara Asean.
Pihak berkuasa, katanya, telah bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Korea Selatan, Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Macau untuk menangani perjudian dalam talian, penipuan pelaburan, penipuan cinta dan lain-lain.