Berita Utama

Naikkan gaji sebelum bubar Parlimen atau berdepan piket: CUEPACS

Cadangan naikkan gaji Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dibuat

BANGI, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Kerajaan digesa menaikkan gaji penjawat awam sebelum Parlimen dibubarkan atau berisiko berdepan protes jalanan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata, cadangan untuk menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29 sudah banyak kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Jika gaji mereka tidak disemak sebelum Parlimen dibubarkan, CUEPACS bersedia untuk berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today, hari ini.

Adnan berkata, perhimpunan tersebut juga akan menuntut pengurangan kos barangan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu, CUEPACS menggesa kerajaan meluluskan cadangan menaikkan gaji penjawat awam bagi membantu mereka menghadapi kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Beliau dalam masa sama turut mencadangkan beberapa perkara termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,800 untuk kakitangan awam, dua kenaikan setiap tahun, sistem saraan lebih berkesan yang menyeluruh, adil dan saksama, elaun pelbagai tugas, elaun batik dan pakaian kebangsaan.

Selain itu, kerajaan digesa mengisi kekosongan jawatan pembantu tadbir dengan segera, tiada pelupusan jawatan yang tidak diisi selama dua tahun seperti yang terkandung dalam pekeliling Perbendaharaan baru-baru ini sebagai langkah penjimatan kos; dan menamakan semula jawatan pembantu tadbir kepada pegawai perkeranian, seperti sebelum ini.

Adnan menambah, struktur gaji semasa penjawat awam sudah dilaksanakan sejak 2002 dan wajar dikaji semula bagi memastikan perkara ini relevan dan selari dengan perkembangan semasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button