Berita Utama

Cadangan iktiraf Kampung Baru Cina di UNESCO bukti menteri DAP dangkal

Idea provokasi, walhal Kampung Baru Cina wujud tak sampai 80 tahun

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 28 Rejab 1445H, Jumaat – Cadangan Nga Kor Ming yang mahu Kampung Baru Cina diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menampakkan lagi kedangkalan menteri DAP di bawah pimpinan kerajaan campuran.

Cadangan itu bukan sahaja tidak berasas, malah ia memperlihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu tidak memahami sejarah mengenai apa yang dikatakan ‘warisan’, kata Ketua Aktivis Nasinalis, Haji Rashidi Haris.

“Jauh beza antara kampung Melayu yang sudah ratusan tahun dibandingkan dengan Kampung Baru Cina yang wujud tidak sampai 80 tahun.

“Cadangan Kor Ming ini bagaikan provokasi kepada perbalahan kaum dan sekali gus beliau sebagai menteri telah melanggar Rukun Negara yang ke-5 (terakhir) iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Dakwanya, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Membantah keras idea yang tidak berfaedah itu, Haji Rashdi mempersoalkan tujuan sebenar cadangan menteri DAP ini, sama ada mempunyai muslihat lain.

“Lebih baik letak jawatan daripada memberikan idea cadangan sebegini.

“Persoalannya apakah patut hari ini Kampung Baru Cina cetusan idea Briggs ini yang baru berusia tidak lebih 80 tahun diangkat warisan UNESCO?

“Bukankah ada kampung Melayu yang telah wujud jauh lebih lama daripada Kampung Baru Cina?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button