Berita Utama

Pastikan cadangan GEG bukan sekadar tindakan populis: Pemuda BERJASA

Demi masa depan generasi muda, BERJASA sokong usaha KKM

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Selain memastikan mendapat sokongan pelbagai pihak, kerajaan juga perlu serius dan komited merealisasikan cadangan Generational Endgame atau Generasi Penamat (GEG) supaya matlamat bebas rokok untuk kumpulan sasarnya tercapai.

Meskipun Pemuda BERJASA menyokong penuh cadangan GEG, idea besar itu masih dibimbangi sekadar tindakan ahli politik populis untuk memenangi sokongan rakyat semata-mata.

Bagaimanapun, demi masa depan generasi muda di negara ini, usaha itu adalah peranan yang seharusnya dimainkan oleh pemimpin, kata Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan.

“Saya yakin idea besar ini bakal mendapat tentangan dan kecaman daripada perokok dan penghisap vape tegar di kalangan masyarakat.

“Ini kerana rokok telah menjadi sebahagian industri dalam negara yang mempunyai pasaran sangat meluas.

“Tambahan pula, tabiat merokok adalah dikategorikan sebagai ketagihan yang memerlukan program pemilihan dan diletakkan di bawah program rawatan di Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sekalipun begitu, beliau berkata, Pemuda BERJASA tetap menyokong usaha KKM itu, termasuk Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang telah dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, semalam.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan untuk mengharamkan merokok dan melarang pemilikan produk tembakau serta vape oleh mereka yang dilahirkan selepas tahun 2007 selaras dengan matlamat GEG.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button