Berita Utama

Pengaruh jalur Barat punca sistem pendidikan negara huru-hara: PEMBELA

Hanya tumpu bilangan A hingga penekanan agama, jati diri tak dominan

BANGI, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Sistem pendidikan negara seolah-olah tiada hala tuju dan menjadi huru-hara akibat didraf oleh kebanyakan pemimpin yang mempunyai jalur pendidikan yang menjurus kepada Barat.

Ini kerana, sehingga hari ini penekanan agama dan jati diri dilihat tidak begitu dominan dalam sistem pendidikan negara, sebaliknya lebih menekankan kepada pencapaian bilangan A yang diperoleh dalam peperiksaan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya percaya situasi itu sememangnya perancangan awal pihak penjajah untuk mendidik kelompok masyarakat yang tinggal di tanah sendiri tetapi membawa pemikiran Barat.

“Hatta, kalau tengok sejarah pun, selalu kita sebut sejarah kita bermula daripada merdeka sedangkan sebenarnya ia jauh daripada itu.

“Sejak Portugis datang, sudah pun bermula perjuangan itu. Justeru, kenapa kita tidak tonjolkan tokoh-tokoh ini umpamanya Tok Janggut dan baru-baru ini kita lihat seperti filem Mat Kilau.

“Bukan tidak ada, tetapi kita hanya sedikit disentuh, sedangkan kalau tengok di Barat sejarah mereka yang telah membina negara diangkat tinggi,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Atas dasar itu, dalam konteks penganjuran Hari Peradaban Bangsa Melayu pada Sabtu ini, Aminuddin berkata, di samping PEMBELA meminta kerajaan mengumumkan setiap Maal Hijrah sebagai hari peradaban bangsa, sebuah bangunan juga perlu dikhususkan untuk mengukir semula kehebatan orang Melayu.

“Dia bukanlah muzium, tetapi sebagai satu khazanah yang mengukir balik kehebatan orang Melayu kerana sejarah kita banyak sebenarnya.

“Dahulunya masyhur Melaka sebagai tempat yang dipandang tinggi oleh Barat yang mengangkat tokoh kita, jadi kita nakkan itu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini tiada bangunan yang secara sistemnya membenarkan mengumpul artifak-artifak sejarah orang Melayu.

“Dan saya rasa ini boleh menarik pelancong juga sebab itu yang pelancong nak lihat, bukan bangunan pencakar langit kerana itu memang sudah banyak di negara mereka.

“Tetapi sejarah ini untuk mereka kenang negara kita dan generasi akan datang juga kenal siapa kita,” katanya.

Tonton penuh temu bual Dimensi di sini;

https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/461072975519112/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button