Berita Utama

RUU lompat parti lulus, ROS akan teliti perlembagaan parti politik

Terdapat keperluan parti politik pinda perlembagaan mereka

KUALA LUMPUR, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan meneliti perlembagaan semua parti politik berikutan kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, mengenai peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Rakyat hari ini.

“ROS akan kaji perlembagaan-perlembagaan parti politik yang ada,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ringkas dalam sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu antara lain berkata terdapat keperluan parti politik untuk meminda perlembagaan parti mereka, bagi memastikan ia selaras dengan rang undang-undang itu.

Ini kerana, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu memperuntukkan sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan parti dan menyebabkan keahliannya digugurkan berdasarkan perlembagaan parti tersebut, maka individu itu boleh dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusinya.

Ia sekiranya perlembagaan parti itu memperuntukkan bahawa perbuatan Ahli Dewan Rakyat terbabit yang tidak mengikut prinsip parti atau melanggar arahan Whip, akan menyebabkannya tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut dengan sendirinya.

Sementara itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu menjelaskan tindakan Ahli Parlimen daripada parti itu tidak mengambil bahagian dalam sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan, kerana kebanyakkan Ahli Parlimen parti itu merupakan menteri dan timbalan menteri.

“Saya berani bercakap di luar Dewan Rakyat (bukan dalam sesi perbahasan) kerana ramai antara kami ini adalah frontbench (anggota pentadbiran kerajaan). Ini menjadi masalah kepada kita… kita hanya tinggal seorang dua sahaja (bukan anggota pentadbiran kerajaan).

“Ramai netizen di luar sana mempersoalkan kami (Ahli Parlimen Bersatu) tidak berbahas. Sebenarnya (ada) rakan-rakan saya ini mahu berucap (berbahas), tapi saya minta misalnya (Ahli Parlimen) Beaufort (Datuk Seri Azizah Mohd Dun) bersabar (tidak berbahas), kerana ada sesetengah pihak menggunakan analogi yang bukan-bukan untuk melabel kami,” katanya.

Katanya kehadiran dan sokongan yang diberikan Ahli Parlimen Bersatu, menerusi undi belah bahagian menjadi bukti bahawa mereka mengerti dan menghormati setiap undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sidang media Hamzah itu turut disertai 10 Ahli Parlimen Bersatu antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohammed, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Berdasarkan senarai 54 Ahli Parlimen yang berbahas bagi rang undang-undang itu, tiada wakil Bersatu yang menyertainya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button