Berita UtamaDunia

Tak logik 1.2 juta warga China ‘hilang’, apakah berlaku kepincangan pentadbiran?

Pihak berwajib perlu ambil tindakan drastik, elak perkara tak diingini berlaku

BANGI, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Laporan bahawa lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021 adalah situasi serius dan menunjukkan satu kealpaan yang sangat besar. 

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berwajib bertanggungjawab mengawal kedatangan pelancong asing ke negara ini, termasuk memastikan mereka pulang.

“Di manakah silapnya sehingga 1.2 juta pelancong dari negara China tidak kembali ke negara asal? Ini menimbulkan pelbagai lagi persoalan yang merisaukan kita semua. 

“Jumlah yang didedahkan Jabatan Imigresen Malaysia itu apa yang direkod, kita tidak tahu lagi pula berapa jumlah tidak direkod. Pasti berkali ganda lebih tinggi. 

“Itu baru pelancong dari negara China sahaja, belum lagi dikira negara-negara lain seperti Bangladesh, India dan sebagainya. Bila difikir-fikirkan, memang membimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau percaya bahawa kemungkinan berlakunya kepincangan dari sudut pentadbiran kerajaan yang sepatutnya mengambil tindakan segera sejak sekian lama.

“Sangat tidak logik dan tidak masuk akal perkara ini boleh dicuai dan dialpakan walhal kedatangan warga asing direkod dan dipantau,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berwajib mengambil tindakan drastik dengan segera sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam negara.

Terdahulu, akhbar melaporkan bahawa seramai 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button