Berita UtamaDunia

Tiada kesudahan! Zionis ambil alih pintu masuk kawasan dusun Masafer Yatta

1,300 penduduk Palestin diusir selain rumah, kandang ternakan diroboh

TEBING BARAT, 28 Zulhijjah 1443H, Khamis – Tentera pengganas Israel menghantar arahan untuk merampas kawasan lokaliti di At-Tuwani, selatan Hebron, semalam.

Aktivis antipenjajah tempatan, Fouad al-Imour berkata, rejim Zionis mengarahkan supaya tentera mengambil alih kawalan pintu masuk utama kawasan yang menuju ke dusun besar Masafer Yatta.

Di bawah arahan itu, kira-kira tanah seluas 180 kaki persegi milik penduduk tempatan iaitu keluarga Abu Sabha dan Rab’ turut dirampas.

Terletak kira-kira 14 kilometer di selatan Hebron, kawasan lokaliti Al-Tuwani terdiri daripada 19 dusun dipanggil sebagai Masafer Yatta seluas 37,500 donum yang menghasilkan pelbagai tanaman.

Terbaharu, Mahkamah Tinggi Israel memberikan lampu hijau kepada pasukan tentera mengusir 1,300 penduduk Palestin yang tinggal di 12 buah kampung di sekitar Masafer Yatta, yang kini bergantung kepada hasil tanaman dan ternakan untuk meneruskan kehidupan.

Situasi berkenaan merupakan langkah pengusiran terbesar dilakukan Israel sejak kebelakangan ini.

Terletak di Kawasan C di Tebing Barat yang dikawal sepenuhnya pentadbiran negara haram dan tentera, kawasan berkenaan berdepan pelanggaran berulang oleh peneroka Yahudi yang menyasarkan sumber tanaman utamanya.

Kawasan berkenaan ditetapkan sebagai tertutup untuk tentera Zionis bagi tujuan latihan ketenteraan sejak 1980-an dan dirujuk sebagai Zon Tembak 918.

Terbaharu, tentera pengganas secara kejam merobohkan kandang penternakan dan kediaman penduduk Palestin di kawasan berkenaan.

Lebih dahsyat, rejim Zionis berkeras tidak memberi kebenaran membuat permit kepada penduduk Palestin bagi mendapat kebenaran membina kediaman. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button