Berita UtamaDunia

Filipina lapor kes pertama cacar monyet

Babit individu mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara

MANILA, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Filipina mengesan kes pertama wabak cacar monyet membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, lapor pegawai kesihatan negara itu pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat dalam tempoh seminggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

Pegawai Jabatan Kesihatan Filipina tidak mengenal pasti jantina pesakit, hanya mengatakan dia berusia 31 tahun dan disahkan positif pada Khamis selepas ujian RT-PCR.

“Kes itu pernah melakukan perjalanan ke negara yang mempunyai kes cacar monyet yang didokumenkan.

“Sepuluh kenalan rapat direkodkan dan tiga daripadanya dari rumah yang sama. Semua telah dinasihatkan untuk kuarantin dan sedang dipantau oleh jabatan,” kata Pemangku Setiausaha untuk Jabatan Kesihatan, Beverly Ho.

Katanya, Filipina bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mendapatkan vaksin cacar monyet.

Lonjakan jangkitan cacar monyet telah dilaporkan sejak Mei di Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu sudah lama menjadi endemik.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu berkata, lebih 18,000 kes kini dilaporkan kepada pertubuhan itu dari 78 negara, dengan 70 peratus daripadanya di Eropah dan 25 peratus di Amerika.

Lima kematian telah dilaporkan dalam wabak itu sejak Mei, katanya.

Filipina berusaha untuk mengelak kemungkinan panik, mengatakan cacar monyet tidak seperti COVID-19.

“Ini bukan seperti COVID-19 yang boleh disebarkan melalui udara dengan sangat mudah dan mungkin boleh membawa maut,” kata Setiausaha Akhbar untuk Presiden Ferdinand Marcos Jr, Trixie Cruz-Angeles. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button