Berita Utama

Fomca saran beri pampasan pihak terlibat gangguan elektrik

Pihak berkuasa perlu tegas, hapus 'kerenah birokrasi' halang pemberian pampasan

BANGI, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Individu dan pihak yang terlibat dengan gangguan bekalan elektrik berskala besar baru-baru ini sehingga terpaksa menanggung kos tambahan wajar diberikan pampasan.

Cadangan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah yang melihat pemberian rebat adalah tindakan sepatutnya dilakukan selain tertakluk kepada Standard Prestasi Perkhidmatan Bekalan Elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Namun, katanya, kriteria untuk mendapat rebat bergantung kepada masa yang diambil untuk memulihkan bekalan elektrik.

“Jika ia mengambil masa lebih tiga jam untuk memulihkan bekalan, pengguna berhak mendapat rebat.

“Malah, standard prestasi bagi Jaminan Tahap Perkhidmatan 2 (GSL2) yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST) menyatakan pengguna berhak mendapat rebat, jika gangguan bekalan elektrik berterusan selama tiga jam atau lebih.

“Begitu juga dengan pengguna domestik berhak mendapat rebat satu peratus daripada bil bulanan mereka atau minimum RM10, manakala pengguna komersial boleh mendapat satu peratus daripada bil bulanan mereka atau sehingga RM300, manakala, pengguna industri pula boleh mendapat 0.5 peratus daripada bil bulanan mereka atau maksimum RM1,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pihak berkuasa perlu menyemak semula standard prestasi TNB kerana kadar itu tidak mencukupi, selain pengurusan semua kemudahan dan peralatan elektrik perlu diteliti secara mendalam.

“Ia tentunya memerlukan semakan dan ST perlu mengambil kira kos sara hidup serta inflasi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pihak berkuasa perlu bertegas dan menghapuskan ‘kerenah birokrasi’ yang menghalang pemberian pampasan.

“Sebarang kemas kini, naik taraf atau kerja penyelenggaraan yang diperlukan, mesti dilakukan segera,” katanya sambil menggesa pengguna terjejas mengemukakan aduan kepada ST dan TNB.

27 Julai lalu, beberapa kawasan di Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan elektrik besar-besaran antaranya Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Selayang, Cheras dan Bandar Sunway.

Kawasan lain turut terjejas adalah di negeri Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang.

TNB kemudian menjelaskan, gangguan besar-besaran tersebut berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button