Berita Utama

Kadar RMT perlu dinaikkan segera ikut situasi semasa

Harga lama beri kesan pada murid dan pengusaha kantin

BANGI, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Kenaikan kadar pemberian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) perlu disegerakan dan dilihat secara meluas supaya tidak menjejaskan kesihatan murid terutama di luar bandar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pemberian RMT wajar dinaikkan antara RM5 hingga RM7 selaras dengan situasi semasa harga barangan yang terus melambung.

“Perkara ini perlu disegerakan kerana bimbang sekiranya dilengahkan akan memberi kesan bukan sekadar kepada murid sahaja tetapi juga pengusaha kantin.

“Situasi tersebut mampu memberi peluang kepada murid untuk tidak mendapat nutrisi terbaik kerana kekangan harga bara­ngan yang menghalang pihak kantin menyediakan makanan yang berkhasiat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Persatuan Pengusaha Kantin Malaysia supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menaikkan kadar RMT yang dianggap tidak lagi relevan berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Setiausahanya, Siti Normah Md Desa berkata, pihaknya sudah dua kali menyerahkan memorandum kepada KPM pada 2020 dan Oktober 2021 termasuk menghantar emel supaya kadar RMT itu dikaji semula.

Mengulas lanjut Mohd. Azizee berkata, perkara ini perlu diperhalusi dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

Beliau juga berharap kadar baharu itu dapat diumumkan pada Belanjawan 2023 nanti.

Tegas beliau, sekiranya harga yang diperuntukkan masih di takuk lama, ia pasti terus memberi kesan kepada pengusaha kantin.

Malah, banyak pihak akan menyalahkan pengusaha kantin, sediakan makanan seperti tidak ikhlas.

“Ramai pengusaha sudah berusaha untuk menyediakan menu lengkap, namun kadar sekarang tidak lagi relevan, jadi apa salahnya jika dinaikkan kerana ia adalah kebaikan untuk generasi masa hadapan,” katanya.

RMT merupakan pemberian makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah, terutama dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah bagi memperbaiki keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan.

Bagaimanapun, kali terakhir kadar RMT disemak semula sekitar 2014-2015.

Buat masa ini, kadar ditetapkan untuk semenanjung adalah RM2.50 untuk seorang murid manakakala bagi Sarawak, Sabah dan Labuan sebanyak RM3 setiap murid terlibat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button