Berita Utama

KKM harap Ahli Parlimen sokong RUU Kawalan Tembakau dan Merokok

Semua diminta ambil bahagian dalam perbahasan dan mengundi

KUALA LUMPUR, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Ahli Parlimen akan mengundi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 selepas ia melalui bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menggesa Ahli Parlimen memberikan sokongan mereka terhadap RUU itu, yang juga dikenali sebagai undang-undang generasi penamat kerana ia bertujuan untuk melindungi nyawa rakyat.

“Ini adalah rang undang-undang yang lama ditunggu-tunggu dan kami melakukan ini kerana kami mahu mengawal penggunaan tembakau dan produk vape. Selama ini tembakau dikawal di bawah Akta Makanan 1983.

“Saya harap semua orang memberi sokongan, termasuk Ahli Parlimen yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan dan seterusnya mengundi. Apa yang kita mahu lakukan ialah melindungi kesihatan rakyat Malaysia,” katanya, hari ini.

Pada 27 Jun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan bacaan pertama RUU itu.

Bertujuan untuk menamatkan tabiat merokok, undang-undang akan terpakai kepada mereka yang lahir pada 2007 dan seterusnya dan bukan 2005 seperti yang dicadangkan pada mulanya.

Bacaan kedua (perbahasan) dan bacaan ketiga akan dilakukan semasa persidangan Parlimen sekarang.

Jika diluluskan, Malaysia bukan sahaja akan mengharamkan merokok tetapi juga melarang pemilikan produk tembakau dan vape oleh mereka yang lahir selepas 2007.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button