Berita Utama

MCA dakwa tindakan menteri agama bidas Oktoberfest menjengkelkan

Mahu hak, kebebasan cara hidup bukan Islam tidak diganggu

KUALA LUMPUR, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How hari ini menempelak, pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang menyatakan bahawa negara ini tidak sepatutnya membenarkan pesta arak – Oktoberfest. 

Daniel berkata, persoalan hak meminum minuman keras, kebebasan serta cara hidup bukan Islam telah berulang kali dipolitikkan oleh sesetengah pihak dan ia menjadi semakin menjengkelkan.

Katanya, sebagai menteri agama, tugas Idris adalah mengukuhkan keyakinan umat Islam terhadap akidah mereka dan menjauhi alkohol, bukan sebaliknya mengganggu hak, kebebasan serta aktiviti orang bukan Islam.

“Untuk memaksa ajaran dan nilainya sendiri kepada orang lain dalam usaha mewujudkan persekitaran yang beliau sendiri anggap halal adalah satu tindakan yang ‘tidak kena pada tempatnya’ dan menipu dirinya sendiri,” katanya dalam kenyataan di mcalantian.org.

Mempertahankan pesta arak itu, Daniel berkata, Oktoberfest telah diadakan selama bertahun-tahun dan penganjur mesti memahami sensitiviti masyarakat Islam terhadap minuman beralkohol dan tidak akan menjemput umat Islam untuk hadir dan masyarakat Islam sendiri tidak akan atau tidak patut mengambil bahagian.  

“Malangnya, sesetengah ahli politik lebih suka menggunakan agama dan mempolitikkan perkara ini.

“Kami tidak menggalakkan minum arak, tetapi kami juga bertegas supaya ajaran dan nilai agama seseorang tidak dikenakan ke atas orang lain, sekali gus melanggar hak dan kebebasan orang bukan Islam untuk memilih minum atau tidak minum, menghadiri atau untuk tidak menghadiri Oktoberfest,” katanya.

Mengulas lanjut, Daniel berkata, agama adalah untuk menggalakkan manusia berbaik-baik dan hormat-menghormati antara satu sama lain, bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Namun, katanya, malang apabila sesetengah ahli politik tidak pernah bermuhasabah diri, sebaliknya terus menggunakan agama dan mempolitikkan pelbagai isu yang hanya akan menyebabkan orang bukan Islam rasa jengkel.

“Tetapi kita semua tahu ia bukan tentang agama, ia adalah isu peribadi.

“Kami menggesa ahli politik ini untuk melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan kehidupan rakyat pada masa inflasi yang tinggi dan ekonomi sedang diuji. Inilah yang paling diperlukan oleh rakyat sekarang,” katanya.

Terdahulu, Idris berkata, perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

Beliau berkata, meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

Ini kerana, ia akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button