Berita Utama

Penduduk Malaysia dianggarkan 32.7 juta pada 2022

Kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus

PUTRAJAYA, 29 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Jumlah penduduk Malaysia pada 2022 dianggarkan 32.7 juta orang berbanding 32.6 juta orang pada 2021, dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.2 peratus, demikian menurut penerbitan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2022.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penduduk warganegara meningkat daripada 30.0 juta orang pada 2021 kepada 30.2 juta orang pada 2022, dengan kadar pertumbuhan penduduk warganegara turun daripada 0.8 peratus kepada 0.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Menurut penerbitan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu hari ini, beliau berkata komposisi penduduk warganegara pada 2022 meningkat kepada 92.6 peratus iaitu peningkatan sebanyak 0.5 mata peratus berbanding 92.1 peratus pada 2021.

“Pada 2022, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 17.0 juta dan 15.7 juta. Nisbah jantina adalah 109 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.

Mohd Uzir berkata komposisi penduduk berumur 0-14 tahun iaitu kategori umur muda pada 2022 menurun kepada 23.2 peratus berbanding 23.6 peratus pada 2021, manakala komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.4 peratus pada 2021 kepada 69.5 peratus pada 2022. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button